Tidak kisah sakit asalkan nampak cantik.
Katanya,
“There is no beauty without pain”
Tapi berapa ramai yang sedar… memakai celana ketat sebenarnya akan memberi kemudaratan pada diri sendiri kelak?
Gadis fashionista terutamanya, gemar bermain dengan padanan celana jeans berpotongan skinny. Bayangkanlah betapa ‘kejamnya’ kamu kerana memaksa bahagian tubuh dari pinggul hingga ke betis untuk tersepit dalam celana berkenaan sepanjang hari.
Secara fizikalnya, skinny jeans akan nampak molek bila digayakan kerana membuatkan kaki nampak lebih runcing dan lampai namun, risikonya adalah si pemakai bakal terdedah kepada masalah kerosakan saraf dan sendi yang ada pada bahagian tubuh berdaging mampat (pinggul dan pinggang).

Bagi kaum Adam pula, sebuah kajian mendapati lelaki yang suka menggayakan skinny jeans lebih cenderung untuk mandul kerana penggayaan seluar yang ketat dari fabrik keras seperti jeans secara tidak langsung memberi tekanan kepada organ kemaluan mereka.
Takut tak?
Penjelasan Pakar Tentang Efek Pemakaian Seluar Ketat
Seperti yang pernah dilaporkan akhbar Utusan sekitar Ogos 2015, Ketua Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Zunaidah Abu Samah menjelaskan bahawa, kesan pemakaian seluar ketat berlaku apabila pergerakan sendi anggota bawah menjadi terhad di bahagian pinggang yang menyebabkan ruangan pada bahagian pelvis dan sendi pinggul menjadi sangat sempit ketika individu itu bergerak seperti berjalan dan melangkah.
Seluar Ketat Beri Kesan Pada Kesihatan Sendi & Saraf
Keadaan lebih ketara ketika membengkokkan badan ke hadapan semasa duduk di kerusi, mencangkung dan sebagainya.

Akibatnya, tekanan yang tinggi akan berlaku pada saraf yang terletak di pelvis secara tetap sehingga mengakibatkan seseorang individu itu berasa kebas, terbakar, kesejukan, sakit mencucuk, sangat sensitif apabila tersentuh, selain rasa tidak selesa pada bahagian tepi paha.
Simptom itu boleh berlaku sementara ataupun dalam tempoh berpanjangan bergantung kepada tahap tekanan yang berlaku.
Kisah Benar Wanita Terkena Sindrom Kompartemen
Dalam sebuah kes yang pernah berlaku, seorang wanita telah disahkan menghidap kondisi sendi bengkak yang dipanggil Compartment Syndrome atau Sindrom Kompartemen yang berpunca dari tekanan berlebihan pada bahagian tubuh.
Sebaik tiba di hospital, wanita itu memberitahu doktor bahawa dia telah menghabiskan saban hari, melakukan kerja-kerja berat yang memerlukannya mencangkung sambil memakai celana jeans yang ketat. Sejak beberapa ketika, dia mula berasa sakit sebelum pergi membuat pemeriksaan. Rupanya, kesakitan itu terjadi disebabkan kerosakkan pada bahagian saraf dan otot/sendi pada bahagian kakinya.
Padahnya, situasi itu telah mengehadkan pergerakannya di mana dia tidak boleh berjalan selama beberapa minggu.

Elak Sebelum Parah
Oleh itu cuba elak memakai jeans ketat ketika melakukan aktiviti lasak. Jika anda perlu mencangkung atau berlari tangkas, pakailah seluar bergetah seperti leggings yang memudahkan pergerakan atau lebih lumayan andainya anda sarungkan sahaja seluar yang berpotongan longgar bahkan dibuat daripada material yang lembut dan mampu menyerap peluh secara efisyen.

Seperti jeans, fabriknya agak tebal dan sukar melentur. Itu amat berbahaya.
Beringatlah, memang tiada istilah ‘salah’ dalam berfesyen ini namun seseorang harus bijak membuat pilihan dan ia mempunyai had tertentu.
Buat apa kelihatan cantik tapi tubuh merana dari dalam? Kan…
The post Awas! Bila Suka Sangat Pakai Jeans Atau Seluar Ketat… appeared first on Wanista.com.