Quantcast
Channel: fesyen Archives | Miss Murai
Viewing all articles
Browse latest Browse all 336

Temu Bual Eksklusif: FIZIWOO Bijak Guna Ilham Dari Ais Krim Untuk Hasilkan ‘Magis’

$
0
0
124

Fiziwoo adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri fesyen Malaysia. Sering tampil dengan rekaan eksentrik yang bertepatan dengan jiwa wanita moden masa kini, dua anak muda ini bagai melengkapi satu sama lain demi menyulam impian dari Zero to Hero.

Diasaskan oleh Mohd Hafizi Radzi Woo (Fizi) pada tahun 2009 yang kemudiannya turut disetai Izree Kai Haffiz (Kai) sekitar 2011. 

fiziwoo-designers-color
Pereka fesyen duo yang berada di sebalik keagungan jenama FIZIWOO: Fizi (kiri) dan Kai. Foto -Arkib Wanista

Dalam tempoh yang masih boleh dikatakan ‘setahun jagung’ itu, tidak siapa menyangka dua sekawan ini mampu mengorak langkah untuk pergi lebih jauh. Jangan tak percaya, saat mempersembahkan koleksi terkini di Paris Fashion Week musim lalu, sudah ada pereka fesyen di sana yang terpikat dengan rekaan Fiziwoo!

Jadi siapa kata lelaki tidak bijak mengenal cita rasa wanita? Buktinya, Fiziwoo  mampu mencuri tumpuan ramai kaum hawa diluar sana menerusi busana-busana anggun yang dihasilkan.

Meskipun kedua-dua pereka ini mempunyai latar belakang yang berlainan, tetapi kelainan itulah sebenarnya yang telah menjadikan Fiziwoo berbeza dari jenama fesyen yang lain.

Magnum Almond.
Magnum Almond: Skirt berlisu yang sedang in trend juga menjadi sebahagian konsep diterap ke dalam koleksi rekaan FIZIWOO untuk Magnum!
Magnum Black Espresso.
Magnum Black Espresso: Mix & Match! Helaian baju dan seluar ini juga pasti cocok andainya dipadankan dengan koleksi pakaian yang lain milik si pemakai.
Magnum White Almond.
Magnum White Almond: Umpama Puteri Salju, dress midi ini mempunyai potongan bersih yang disulam dengan sedikit kelainan melalui penggunaan fabrik bertekstur.
Magnum Pink Pomengranate.
Magnum Pink Pomengranate: Sungguh mengasyikkan! Dress yang ringkas namun telah diserikan dengan ruffle asimetrik pada bahagian dada ke bahu.
Magnum Classic.
Magnum Classic: Elegen! Jahitan tangan bulu-bulu yang membentuk peplum berpotongan off-shoulder itu dipadankan dengan midi pencil skirt.

Baru-baru ini, Fiziwoo tampil untuk berkolaborasi dengan jenama ais krim mewah yang diramu dengan keenakan coklat Belgium iaitu MAGNUM bagi menghasilkan helaian artistik khas untuk wanita. Setiap helaian mempunyai kriteria dan keunikan tersendiri berdasarkan lima (5) perisa istimewa termasuklah The Classic, Almond, White Almond, Pink Pomegranate dan Black Espresso.

Ayuh ikuti temu bual eksklusif Wanista bersama si pereka duo Fiziwoo!

#1 Boleh ceritakan serba-sedikit tentang latar belakang jenama FiziWoo.

Mula beroperasi sepenuhnya pada 2012. Kami berdua mempunyai latar belakang yang berlainan di mana Fizi adalah pelajar lulusan fesyen manakala saya (Kai) memiliki latar belakang dalam bidang seni bina. Jadi, apa yang kami hasilkan ini adalah merupakan gabungan antara dua subjek dan kami Fiziwoo lebih gemar memanfaatkan aspek minimalis. 

Kami juga banyak bermain dengan teknik potongan serta jenis kemasan ekstrem meliputi fabrik berlapis, garisan berlisu, ruffle, jahitan sulaman manik dll.

#2 Apakah perkembangan terkini FiziWoo selain menguntai usahasama artistik dengan Magnum?

Perkembangan terkini? Banyak, antaranya baru pulang dari Paris Fashion Week, bakal berkolaborasi bersama jenama beg Itali (Save My Bag). Selain itu ada juga bekerjasama dengan Neutrogena, Neelofa@Naelofar untuk koleksi raya yang lepas… Oh! Kami juga ada berkolabarasi untuk hasilkan pakaian seragam kakitangan Hotel St. Regis Kuala Lumpur. 

#3 Perkara pertama yang muncul dibenak fikiran anda berdua kala ditawarkan untuk berkolaborasi dengan Magnum?

Ini adalah kali kedua kami bekerjasama. Dahulu, Fiziwoo ada menghasilkan sepersalinan busana khas untuk majlis pelancaran pembukaan kafe Magnum di Mid Valley tetapi tahun ini, sepenuhnya kelima-lima rekaan dicipta dan dihasilkan oleh kami berdasarkan perisa ais krim itu sendiri.

#4 Apakah kesinambungan antara jenama fesyen FiziWoo dan jenama aiskrim Magnum yang boleh di “relate” kan? Adakah dari segi kemewahannya atau… ceritakan.

Magnum adalah jenama ais krim yang boleh dikaitkan dengan mood dan personaliti seseorang malah begitu juga dengan kekuatan Fiziwoo, unik dan sangat versatile yang boleh mencipta mood dan personaliti si pemakai.

#5 Bagaimana FiziWoo mengambil inspirasi dari aiskrim? Khususnya Magnum.

Setiap satu rekaan memiliki karakter yang tersendiri dan bagaimana kami mengambil inspirasi tersebut dari Magnum adalah menerusi perisanya yang pelbagai serta kekuatan yang dimiliki oleh setiap satu perisa berlainan itu untuk menjadikannya sebuah rekaan lebih eksklusif.

#6 Apa sifat yang ingin ditonjol atau ditampilkan dalam rekaan istimewa ni?

Sopan. Elegan dan Klasik.

Cerita di sebalik penghasilan koleksi ini adalah sangat menarik. Ia sebenarnya berkenaan seorang wanita yang mempunyai perasaan terhadap seorang lelaki namun tidak tahu bagaimanakah caranya untuk membuatkan lelaki tersebut sedar akan kehadirannya. Wanita tersebut kemudian cuba memenangi hati lelaki berkenaan dengan memakai variasi busana menarik saban hari (koleksi Fiziwoo X Magnum) dari pagi hingga malam demi mendapatkan cinta si jejaka.

Kesemua rekaan adalah seksi tetapi masih lagi sopan. Tidak bermaksud meskipun pakaian tersebut tidak terdedah si pemakai tidak boleh kelihatan seksi kan? Dalam erti kata lain, ia sebenarnya berbalik kepada budaya orang kita yang sangat mementingkan tata susila serta kesopanan.

#7 Cabaran dalam menyiapkan busana ini?

Sebenarnya tidak ada masalah, cuma sedikit kekangan masa kerana kami sentiasa berurusan dengan pelbagai projek lain yang kadang-kala menjadikan jadual padat. Waktu harus diuruskan sebaiknya agar semua rekaan dapat disiapkan pada masa yang telah ditetapkan.

#8 Gemar polos atau bercetak?

Polos. Sebab lebih mudah untuk bekerja dan melakukan seni diatasnya. Namun, bergantung kepada cetakan sesuatu fabrik, jika cetakan itu memiliki nilai yang tersendiri contohnya mempunyai kaitan dengan kesenian dan warisan (songket, broked dll.) atau corak itu sendiri mempunyai jalan ceritanya yang unik, tidak salah untuk bermain dengannya.

Lagipun, tak semua orang gemar memakai fabrik bercetak sebab tu lagi senang bekerja dengan fabrik yang kosong.

#9 Minimalis atau Dramatik?

Minamalis. 

#10 Elegan atau Klasik?

Klasik kerana sifatnya yang berciri timelss. Ia akan sentiasa dikenali dan diingati. 

#11 Siapakah pereka fesyen idola anda berdua?

Fizi sukakan Raf Simons dan saya (Kai) suka Karl Lagerfeld.

#12 Perisa Magnum yang menjadi kegemaran anda berdua?

Magnum Almond. Memang suka sejak dari kecil dan memang selalu akan ada dalam peti ais *ketawa*. Saya (Kai) tak suka kek, tapi suka ais krim.

#13 Boleh kongsi sedikit tentang apa azam atau resolusi tahun baru 2017 anda berdua?

Kami mengharapkan Fiziwoo akan lebih dikenali, menjadi lebih besar dalam industri fesyen tempatan dan luar negara. Tahun 2016 adalah tahun keempat kami menyerlah dalam bidang ini. Banyak perkara yang telah berlaku sepanjang perjalanan Fiziwoo dari dulu hingga kini.

Akan datang, banyak lagi cabaran baru yang perlu ditempuh. Banyak juga projek-projek baru untuk memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai termasuklah koleksi busana pengantin, koleksi raya 2017, koleksi untuk lelaki serta koleksi ready-to-wear yang akan ditawarkan pada harga mampu milik dalam rekaan versatile.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 336